Tuesday, September 21, 2010

Kesilapan @ Kesalahan

Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina. Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa. Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan bebas antara lain jantina.

Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)

Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).

Kelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa. Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga tahun 2008 lebih dari 250 000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri yang ditinggalkan suami, sebaliknya hasil hubungan haram.

Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan, sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.

Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik. Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja, dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.
Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.

Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya dari pihak atasan.




Apakah yang berlaku??? (isu-isu @ kes-kes pembuangan bayi)

Masyarakat kita masyarakat yang berpegang kepada adat dan agama. Namun dalam masa yang sama kita lebih senang menghukum dari membantu mangsa. Kata orang “berat mata memandang, lebih berat bahu memikul”. Tiada seorang wanita pun mahu mengandung luar nikah jika diberi pilihan. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah dan kita mesti melihatnya sebagai pengajaran dan perlu diambil iktibar. Malangnya kita manusia yang sangat lemah. Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita tuding jari, cari salah siapa. Dah berlaku, semua orang salah… ibu bapa salah, masyarakat salah…pemimpin salah, semua salah…Jangan cari salah. Cari macam mana nak hindar dan baiki keadaan. Sebab itu apabila tahu saja mengandung, anak gadis panik. Lari dari rumah, cuba gugurkan dan akhirnya jika semua ikhtiar gagal, mereka buang bayi.Fikiran mereka buntu dan mereka tiada siapa nak mengadu. Semua salahkan mereka, mereka juga malu. Saya yakin memang sikap kita secara tak langsung menyumbang kepada pembuangan bayi. Bagi yang tidak kena batang hidung, mereka tidak melihat perlunya diwujudkan rumah persinggahan untuk golongan ibu hamil di luar nikah ini. Kata mereka, ia hanya akan mendorong lebih banyak kes sedemikian.

Rumah Perlindungan atau Persinggahan untuk ibu yang hamil sangat perlu kerana ia boleh mengurangkan jumlah pembuang bayi. Kita bukan nak galakkan mereka berzina. Itu anggapan yang biasa dibuat masyarakat umum. Itu anggapan salah. Rumah ini boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak. Kita boleh beri peluang untuk anak tak sah taraf hidup normal sebagai anak angkat. Ibu yang terlanjur boleh diberi peluang kedua membaiki hidupnya dan memulakan kehidupan yang baru. Mesti ada modul yang sesuai untuk memperbaiki diri dan sahsiah mereka. Kehamilan tidak akan berlaku tanpa penglibatan lelaki. Apa pula tindakan yang perlu diambil ke atas lelaki terlibat.

Mari kita lihat statistik pembuangan bayi dahulu..
• Daripada tahun 2005 sehingga Ogos 2010 -sebanyak 472 kes dilaporkan dimana 214 kes melibatkan bayi dijumpai hidup dan 258 kes bayi dijumpai mati.
• Tahun 2009 pula menyaksikan 79 kes buang bayi dilaporkan dengan 25 kes bayi lelaki dan 29 perempuan manakala 25 janin yang tidak dikenalpasti jantina.
• Manakala daripada Januari 2010 sehingga Ogos 2010 sahaja terdapat 65 kes pembuangan bayi dan kes tersebut boleh dipecahkan seperti jadual dibawah :
26 – bayi lelaki
25 – bayi perempuan
24 – janin tidak diketahui jantina
2 - kes dijatuhkan hukuman
6 – kes masih dibicarakan
21 - ditahan untuk siasatan



Yang malangnya, wanita membawa bukti yang jelas. Kita ada teknologi. Kita boleh buat DNA pada anak dan pada lelaki yang dikatakan menyebabkan seseorang wanita itu hamil. Kita hadapkan kedua-duanya ke mahkamah, jika Islam, lelaki mesti menjalani hukuman juga.Satu lagi ialah mereka patut diperintahkan membayar nafkah anak tak sah taraf tersebut bukan kerana nasab tetapi sebagai hukuman. Itu lebih berkesan kerana mereka akan lebih berhati-hati di masa akan datang.Saya pernah cadang dulu lelaki membayar diat (denda) kepada wanita yang dihamilkannya itu. Dia juga perlu membayar pampasan kepada anak biologinya.

Isu membuang dan membunuh bayi semakin menjadi-jadi. Yang dilaporkan media sahaja sudah hampir setiap hari. Laporan media adalah ibarat ‘ice berg’, yang tersembunyi jauh lebih besar dari yang nampak.


Kenapa perkara ini berlaku??? (sebab-sebab pembuangan bayi)

Alasan / Punca Kejadian dan Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf serta puncanya kes pembuangan bayi :
• Suka sama suka
• Terlalu percayakan lelaki sebagai kekasih
• Suka bebas/terlalu bebas
• Ingin mencuba seks
• Kurang didikan agama
• Dirogol
• Pengaruh kawan-kawan
• Sebab-sebab lain seperti tekanan keluarga, diabai ibu bapa, jika mengandung ibu bapa akan bagi kahwin dan lain-lain.

Pergaulan bebas merupakan pemangkin utama kes ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak luar nikah Lebih buruk lagi pihak lelaki tidak bertanggungjawab sehingga membawa titik hitam dalam kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan. Perempuan yang menerima anak juga takut dimarahi atau dipulau oleh  keluarga akibat keterlanjuran dalam pergaulan.

Kurang didikan agama juga merupakan salah satu punca berlakunya kes pembuangan bayi. Selain cetek pengetahuan agama, mereka juga cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Mereka mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala. Bagi mereka, perbuatan keji ini adalah perkara baru yang perlu dicuba. Mereka yang melakukan perbuatan yang salah ini kerana menerima maklumat yang tidak betul daripada pihak tertentu untuk menyelesaikan masalah yang diterima sebagai contoh tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji ini berlaku dengan sikap masyarakat yang memandang keji mereka yang mempunyai anak tanpa berkahwin.


Implikasi??? (kesan terhadap masyarakat)

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada har ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan–kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan negara.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa..

Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.

Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.

Akibat daripada pembuangan bayi, akan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan . Akibatnya wujud ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu iaitu pastinya diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan ornag ramai lagi. Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu
menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Oleh itu masa masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai. Tidak dapt dinafikan juga pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah Negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang akan berlaku ialah kernav]cakan pembangunan Negara akan terbantut dan akan keadaan
ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial ini. Perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.


Bagaimana mangsa dibicarakan??? (cara penyelesaian)




Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman. Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun.

Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah. Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan. Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya. Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah. Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.

Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya. Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya. Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat.


Hukuman-hukuman yang menanti mangsa yang terlibat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jika buang bayi sehingga menyebabkan kematian dan suspek akan dikenakan hukuman gantung mandatori.Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh jika bayi yang dibuang masih hidup dan suspek akan dihadapkan ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 20 tahun.

Bagaimanapun, keputusan untuk menyabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.
Harap mahkamah tegas dengan keputusan tersebut dan menolak sebarang rayuan bagi membuktikan bahawa kerajaan serius menangani masalah ini. Mereka wajar dikenakan hukuman yang berat agar dapat memberi pengajaran kepada yang lain, memandangkan gejala ini sudah tidak terbendung lagi.
Marilah kita bersuara demi membendung gejala ini dari terus berleluasa.


Siapa peduli??? (pandangan orang ramai @ ahli politik)

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata bukan saja wanita terbabit dengan kes pembuangan bayi akan dikenakan siasatan tetapi juga lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung. Katanya, polis juga diminta menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis sedia bertindak mengikut klasifikasi berkenaan bagi kes pembuangan bayi sekiranya ia merupakan langkah terbaik dalam membendung jenayah kejam itu. Mohd. Bakri berkata, polis bimbang kes pembuangan bayi akan meningkat tahun ini berbanding tahun lepas, terutamanya melibatkan warga tempatan.Setakat ini, pada tahun ini, sahaja seramai 65 bayi dilaporkan dibuang iaitu 26 bayi lelaki, 25 perempuan dan 24 janin yang tidak diketahui jantinanya, kata Mohd. Bakri kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
“Sepanjang tahun lepas sebanyak 79 kes dicatat iaitu 25 lelaki, 29 perempuan dan 25 janin yang tidak dikenal pasti jantina.
“Pada tahun ini walaupun belum sampai lapan bulan sudah nampak ada peningkatan pembuangan bayi yang amat mengecewakan,” katanya. – Bernama


Artikel pembuangan bayi 

Kaji punca berlakunya kes pembuangan bayi: Mashitah
2010/07/23

KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata isu pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam untuk mencari punca kenapa ia berlaku.

Beliau berkata, dengan hanya menyediakan tempat untuk bayi terbuang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah itu. Katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan melalui pendekatan agama dan pengukuhan institusi keluarga. "Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan dan begitu juga masalah bayi ini kenapa ia berlaku," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program sesi bersama pemimpin, perpaduan 1Malaysia di sini hari ini.

Mashitah berkata, kes pembuangan bayi semakin serius sejak akhir-akhir ini dan ia antara masalah utama dalam masyarakat ketika ini selain penceraian rumah tangga.

Katanya, peranan institusi keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah mesyarakat yang lebih maju dan bertamadun perlukan perhatian, khasnya yang membabitkan pendidikan awal akhlak anak-anak.

Mashitah berkata, gaya hidup dalam sesebuah keluarga banyak mempengaruhi cara pemikiran anak-anak hari ini kerana mereka akan lebih mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang tua mereka sendiri sama ada ia perbuatan yang baik mahupun sebaliknya. - BERNAMA