Thursday, October 14, 2010

Bagaimana mangsa dibicarakan??? (cara penyelesaian)


Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman. Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun.


Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah. Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan. Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya. Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah. Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.


Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya. Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya. Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat.

Hukuman-hukuman yang menanti mangsa yang terlibat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jika buang bayi sehingga menyebabkan kematian dan suspek akan dikenakan hukuman gantung mandatori.Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh jika bayi yang dibuang masih hidup dan suspek akan dihadapkan ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 20 tahun.


Bagaimanapun, keputusan untuk menyabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam. Harap mahkamah tegas dengan keputusan tersebut dan menolak sebarang rayuan bagi membuktikan bahawa kerajaan serius menangani masalah ini. Mereka wajar dikenakan hukuman yang berat agar dapat memberi pengajaran kepada yang lain, memandangkan gejala ini sudah tidak terbendung lagi. Marilah kita bersuara demi membendung gejala ini dari terus berleluasa.


Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama.
Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada kelahiran anak-anak yang terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya
Justeru, semua pihak dinegara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut iaitu institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku. Kedua, program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu. Ketiga, pihak yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja.
Seterusnya, program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan ibu bapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak. Akhirnya adalah diingatkan bagi mereka yang sudah terlanjur,hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan-perbuatan terkutuk tersebut.Janganlah membunuh bayi, berilah mereka peluang untuk hidup. Semoga Allah s.w.t menerima taubat hamba-hambanya.

Selain itu, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Semua pihak agar turut memberi penekanan kepada bimbingan terhadap kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita.

Kesimpulannya,setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius.Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tenteng gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu.Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Contoh keratan akhbar mengenai cara mengatasi pembuangan bayi ini:

Atasi masalah buang bayi
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
2010/04/12

KES buang bayi yang semakin menjadi-jadi mencetuskan sebuah projek khas membabitkan artis popular dengan sokongan pihak media dan kerajaan.
Seramai 20 penyanyi terkenal bersatu hati menjayakan kempen Kami Prihatin antaranya, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Daud Kilau, Amy Mastura, Fauziah Latiff, Ifa Raziah, Alyah, Amy Search, Hattan, Anuar Zain, Lah Ahmad, Aizat dan Roslan Shah.


Kempen itu yang dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bagi menyerlahkan lagi kempen itu, sebuah lagu khas, Harapan Tanpa Suara diciptakan oleh komposer S Atan bersama penulis lirik Habsah Hassan. Ia dirakamkan semua artis terbabit dan dipersembahkan pada majlis petang itu.


Shahrizat berkata, penganjuran kempen sebegini satu langkah murni di kalangan masyarakat agar lebih prihatin mengekang jenayah yang keji itu daripada terus berlaku.


"Kempen ini satu luahan rasa daripada rakyat negara ini terhadap nasib yang menimpa bayi-bayi berkenaan dan menyeru kita menjadi masyarakat yang lebih penyayang.


"Mengikut statistik, sepanjang empat tahun lalu sebanyak 407 kes buang bayi dan 10,758 kes dera sudah berlaku. Justeru, tujuh punca dikenal pasti pada pemasalahan ini iaitu takut apabila kehamilan tidak dibantu anggota keluarga, takut dihukum, enggan menerima bayi cacat, kurang pendidikan, tiada pengetahuan khidmat sokongan, bapa bayi tidak bertanggungjawab dan wanita pendatang asing bimbang diusir," katanya.


Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berkata, menerusi kempen ini diharap dapat memberi impak kepada masyarakat untuk bekerjasama membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah ini. Beliau berkata, kesedaran kepada semua anggota masyarakat sangatlah penting.


"Siti sangat tersentuh kerana tatkala orang lain sukar mendapat anak, ada pula yang tanpa perikemanusiaan sanggup membuang bayi. Golongan muda seharusnya jangan terlalu mengikut perasaan ketika bercinta.


"Banyak cara lain boleh difikirkan dan buang bayi bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Menerusi acara terbuka seperti ini, saya percaya ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.


Amy Mastura berkata, peranan anggota keluarga terdekat amat penting dalam membantu gadis yang hamil di luar nikah. "Lelaki juga perlu memainkan peranan penting agar tidak mempergunakan wanita. Ketika ini, masyarakat lebih terbuka dan ibu bapa perlu mendidik anak mereka mengenai perkara ini.
"Jika gadis itu sudah terlanjur dan menyedari kesilapan mereka, masyarakat pula jangan menyisihkan mereka," katanya.


Hattan sebaliknya menyifatkan individu yang membuang bayi tidak berperikemanusiaan dan tiada iman yang teguh. Biarpun diberi pelbagai alasan, ia masih tidak boleh diterima.


"Masalah ini tidak kira berlaku di bandar atau luar bandar. Saya sendiri sudah mula mengajar anak saya mengenai perkara membabitkan soal lelaki dan wanita.


"Mengenai kempen ini, ia seharusnya dibawa ke seluruh negara dan diteruskan pada masa akan datang. Saya percaya lebih ramai artis sertai acara ini, ia lebih meriah dan menarik perhatian ramai," katanya.
Bagi Anuar Zain, masalah buang bayi memberikan persepsi negatif oleh masyarakat luar yang menilai kehidupan masyarakat di negara ini.


"Masalah itu memalukan negara apabila orang luar memberikan persepsi negatif. Pastinya, apabila masalah ini berlaku semua anggota masyarakat mempunyai perasaan marah dan geram.


"Sepatutnya, kempen ini dilakukan sejak dulu lagi dan ia menjadi usaha positif dalam meningkatkan kesedaran pada orang ramai," katanya

No comments:

Post a Comment