Thursday, October 14, 2010

Kesilapan @ Kesalahan … Adakah jalan pintas hapus dosa???

Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina. Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa. Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan bebas antara lain jantina.


Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)


Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).


Kelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa. Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga tahun 2008 lebih dari 250 000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri yang ditinggalkan suami, sebaliknya hasil hubungan haram.


Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan, sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.


Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik. Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja, dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.
Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.


Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya dari pihak atasan.

No comments:

Post a Comment